Manisfesto Pakatan Harapan Kelantan menawarkan royalti petroleum 20% jika berjaya mengambil alih kerajaan negeri. Tawaran yang sama untuk Terengganu, Sabah dan Sarawak. Namun tiga daripada empat negeri pengeluar minyak di bawah pembangkang di persekutuan.

Apakah perlu diberi kepada Sabah sahaja 20% dan negeri lain kekal dengan cara lama? Sebelum jawab soalan ini, artikel ini bertujuan untuk mengajak kita menilai kesan kepada industri petroleum negara jika royalti dinaikkan daripada 10% kepada 20%.

Pembahagian Hasil Petroleum Negara

Saya lukiskan ilustrasi bagaimana hasil minyak dibahagikan. Gross revenue bergantung kepada pengeluaran minyak dan harga minyak.

Daripada gross revenue ini, lebih separuh untuk bayar cost recovery, yang terdiri daripada exploration costs, development cost dan operating costs.

Baki selepas ditolak cost recovery ialah ialah total profit. Total Profit ini dibahagi antara government  dan contractor. Government ialah Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri (jika ada) dan secara tidak langsung Petronas.

Manakala contractor ialah syarikat minyak seperti Shell, Exxon Mobil dan Repsol.

Syarikat Minyak Boleh Rugi

Royalti adalah bentuk cukai yang bersifat regressive. Dengan menaikkan royalti kepada 20%, ia akan menghukum projek lapangan minyak kecil dan marginal.

Kenaikan royalti akan memaksa syarikat minyak menerima untung yang lebih kecil. Kos akan kekal sama dan pengeluaran minyak lumrahnya akan makin menurun. Maka syarikat minyak boleh tersepit dan akhirnya boleh rugi.

Seterusnya, pelaburan sektor petroleum negara akan dipandang sepi oleh syarikat minyak antarabangsa mahupun tempatan. Lebih baik meneroka lapangan minyak baru di Thailand, Brunei dan Indonesia dengan royalti masing-masing ialah 15%, 10% dan 0%.

Hakikatnya tidak banyak negara yang memberi syarat royalti 20%. Dalam kes ini, 20% hanya untuk kerajaan negeri, jika kerajaan pusat mengambil lagi 5%, maka jumlah royalti menjadi 25%.

Tidak ada syarikat minyak yang sanggup membayar royalti sehingga 25%.

Negara dan Negeri Boleh Rugi

Dengan kadar pengeluaran minyak semasa yang boleh bertahan lagi 10-15 tahun, tanpa pelaburan dalam aktiviti penerokaan minyak baru boleh menjejaskan pengeluaran minyak negara di masa hadapan.

Tambahan pula, pengunaan minyak dalam negara akan meningkat daripada tahun ke tahun. Dulu kita adalah net oil exporter, sekarang kita sudah hampir menjadi net oil importer.

Jika tiada pertambahan dalam pengeluaran minyak negara, maka kita terpaksa import minyak seperti Thailand, Singapore dan Indonesia. Kita boleh rugi tukaran wang asing dan boleh menjejaskan balance of trade negara.

Pintu Rundingan

Atas sebab-sebab diatas, daripada awal lagi saya tidak bersetuju dengan tawaran royalti 20%. Kini kerajaan Pakatan Harapan boleh tersepit untuk menunaikan janji tanpa menjejaskan industri petroleum negara.

Pun begitu, Pakatan Harapan sudah menawarkan royalti 20% kepada Kelantan dan Terengganu tetapi kalah akhirnya, Maka Pakatan Harapan boleh mengatakan orang Kelantan dan Terengganu sudah tolak tawaran baik ini.

Tetapi tidak adil kerana telaga minyak tidak bertukar ke negeri lain walaupun kerajaan boleh bertukar.

Maka, pintu rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu dibuka demi kesejahteraan rakyat Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak yang jauh ketinggalan dengan negeri-negeri pantai barat.

Bagi saya, walaupun royalti 20% adalah tidak munasabah, namun dengan terus menafikan royalti seperti kerajaan BN sebelumnya adalah lebih tidak rasional.

Kerajaan Pakatan Harapan mungkin kelihatan gagal menunaikan janji 20% royalti, tetapi dengan memberi kembali 5% royalti terus kepada negeri-negeri tersebut, ia akan menafikan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan sama dengan Barisan Nasional.

Wassalam

Elias Abllah.

Patutkah Kelantan Dapat Royalti 20 Peratus?
Tagged on:     

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *