Bila berbicara harga rumah, apakah kayu ukur yang adil mewakili situasi sebenar keadaan pasaran? Adakah harganya, sewanya atau bayaran bulanannya kah? Inilah persoalan yang saya nak bincangkan dalam artikel ini.

Bank Negara Malaysia melalui laman web www.housingwatch.my mengeluarkan satu laporan bertajuk “What’s affordable housing in Malaysia” bertarikh 16 October 2017.  Bank Negara mengunakan harga rumah sebagai kayu ukur atau indikasi rumah mampu milik.

Dengan median pendapatan isi rumah rakyat Malaysia sebanyak RM 5228, dan harga rumah sepatutnya tidak lebih daripada tiga kali pendapatan tahunan, maka harga rumah mampu milik ialah RM 188,208. Sedangkan harga purata rumah yang ada di pasaran ialah RM 357,258.

Pada pendapat saya, kemampuan memiliki rumah terletak kepada berapa bayaran bulanan. Kadang-kadang sahaja kita dengar orang beli rumah cash, seperti kadang-kadang sahaja kita dengar ada orang isterinya empat.

Seperti anda juga, saya pun beli rumah dengan buat pinjaman di bank dan isteri pun satu. Seyogialah kita melihat tempoh pinjaman dan interest rate yang menentukan berapakah bayaran bulanan rumah yang dibeli, serta syarat-syarat kelulusan pinjaman.

Menggunakan data yang sama, berdasarkan pendapatan bulanan median RM 5228 dan bayaran hutang rumah ialah tidak melebihi sepertiga pendapatan bulanan, maka bayaran bulanan yang mampu dibayar ialah RM 1742 sebulan.

Menggunakan Home Loan Calculator, dengan kemampuan bayaran RM 1742 sebulan berdasarkan tempoh pinjaman 25 tahun dan interest 4.25%, maka harga rumah ialah RM 357,258. Eh! Samalah dengan harga purata rumah seperti dalam laporan Bank Negara.

Dengan kata lain, rakyat Malaysia bukan tidak mampu untuk memiliki rumah, berdasarkan bayaran bulanan dan harga rumah semasa. Tapi apa masalahnya?

Masalahnya ialah kenapa ramai rakyat Malaysia tak mampu buat pinjaman.

Fokus Masalah Sebenar

Hal-hal berikut menentukan sama ada anda layak beli rumah atau tidak,

  1. Down payment 10% daripada harga rumah
  2. Komitmen hutang sedia ada (ASBF, Kereta, PTPTN)
  3. Pendapatan tetap
  4. Rekod hutang
  5. Tempoh Pinjaman
  6. Interest rate

Setelah diagnostic yang betul dilakukan, maka bolehlah kita fikirkan prescription yang boleh mengubati penyakit-penyakit ini.

Jangan pula ubat kurap diberikan untuk kudis buta. Ataupun pil perancang diberikan kepada suami. Haruan lah jadinya nanti.

Seriusnya, ada golongan yang perlu dibantu daripada segi bayaran downpayment. Ada yang perlu dibantu untuk kurangkan hutang-hutang sedia ada.

Ada pula yang berniaga kecil-kecilan tanpa slip gaji. Bagaimana untuk kita ajar peniaga kecil mempunyai rekod kewangan perniagaaan, supaya nanti melayakkan mereka buat pinjaman rumah.

Mungkin tempoh pinjaman boleh dipanjangkan sehingga umur 65 tahun. Atau kerajaan subsidikan bayaran interest sementara menunggu pendapatan isi rumah meningkat.

Ataupun melalui pendidikan supaya rakyat Malaysia lebih pandai menguruskan kewangan peribadi. Ini tidak diajar di sekolah, melainkan baca daripada self-proclaimed sifu-sifu di Facebook. Di samping mengekang skim-skim tersontot di pintu syorga.

Sekian.

Elias Abllah, Personal Finance.

Maksud Rumah Mampu Milik
Tagged on:     

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *