Kami ada dua anak remaja lelaki sekolah di asrama. Bila mereka ada di rumah, roti gardenia klasik boleh habis dalam setengah hari. Nasi penuh pinggan. Apatah lagi kalau mamanya masak special.

Orang muda mampu mengambil lebih banyak kalori tanpa memberi kesan besar kepada kesihatan. Kalau ayahnya buat begitu, roti 500gram boleh bertukar menjadi berat badan 1000gram.

Begitu juga dalam pelaburan, kemampuan mengambil risiko tidak sama bagi orang muda dengan orang tua.

Orang muda mempunyai jangka masa pelaburan lebih panjang daripada orang tua. Orang tua tak punya banyak masa tetapi memiliki harta lebih daripada orang muda. Orang muda pula tidak punya harta tapi hutang.

Kemudian, kita kena faham, untung berkadar langsung dengan risiko. Atau lagi rendah risiko lagi rendah untungnya.

Maka orang muda perlu mencari alat pelaburan yang boleh memberi pulangan yang tinggi supaya modal kecilnya menjadi tabungan lebih besar. Untuk itu orang muda perlu hadapi turun naik pasaran, lumrah pelaburan memang begitu.

Orang tua pula perlu mencari pelaburan yang lebih selamat supaya modal yang terkumpul hasil titik peluh tidak terjejas teruk.

Masalah terjadi apabila orang muda dan orang tua yang tak sedar diri. Bukan tak sedar diri akibat pengsan setelah makan durian 5 biji.

Yang tua tak sedar diri yang dia tak punya harta tapi masih enggan melabur. Bila tua baru tersedar tapi dah terlambat. Yang tua pula tak sedar umur makin kurang tapi nafsu tamak masih tinggi. Sekali terduduk gagal bangkit lagi.

Risiko pula bukan semberono boleh di ambil ya. Sama juga dengan makanan. Janganlah batu dan kayu pun makan kononnya batu tinggi mineral dan kayu kaya serat.

Modern Portfolio Theory mencadangkan pelabur mencari untung maksimum untuk sesuatu risiko yang di ambil. Contohnya, pelaburan dengan untung 10% dengan unit risiko 5 lebih baik daripada untung 15% dengan unit risiko 10.

Nak belajar kira risiko, kita buat dalam artikel lain.

Minggu ini hero kami balik rumah lagi. Siaplah mama masak best-best. Saya bolehlah tumpang sekaki makan best. Mungkin best bukan pada makanan, tetapi gembira melihat anak-anak makan di rumah.

Kitaran Hidup Pelaburan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *