Terdapat berbagai jenis Dana Unit Amanah yang perlu diketahui dan difahami oleh para pelabur. Jenis dana yang dipilih harus sesuai dengan matlamat kewangan yang ingin dicapai. Ini kerana setiap dana mempunyai objektifnya dan tahap risiko yang berbeza-beza.jenis jenis dana unit trust amanah

Jenis dan risiko dana unit amanah bergantung kepada adunan tiga unsur asas sekuriti kewangan.

  1. Saham-saham (equiti) syarikat senaraian awam. Contohnya saham TNB, AXIATA dan PETRONAS DAGANGAN
  2. Terbitan Bon Kerajaan atau swasta
  3. Pasaran wang tunai

Kita boleh guna analogi suhu air, equiti pada takat didih, bon pada suhu bilik dan wang tunai pada takat beku.

Suhu dan tenaga haba dalam segelas air bergantung kepada campuran air mendidih, air sejuk dan ais. Lagi banyak air mendidih lagi panas suhu air yang hendak diminum.

Begitu juga dengan tahap risiko pelaburan, lagi banyak equiti dalam portfolio pelaburan lagi tinggi risikonya. Hasil pelbagai kombinasi antara equiti, bon dan wang tunai melahirkan pelbagai jenis dana.

Jika kita pentingkan pertumbuhan modal, maka lebih banyak peratusan dana dilaburkan dalam equiti. Sebaliknya jika kita mementingkan pemeliharaan modal maka lebih banyak peratusan dana dilaburkan dalam bon dan pasaran wang.

#1 Dana Pertumbuhan (Growth Fund)

Dana jenis ini melaburkan sehingga 90% asetnya dalam sekuriti pasaran saham di Bursa Saham manakala selebihnya dilaburkan dalam instrumen bon dan pasaran wang tempatan.

Saham-saham di Bursa Malaysia juga bermacam jenis. Keuntungan pelaburan di pasaran saham datang daripada kenaikan harga saham dan pendapatan melalui dividen.

Syarikat-syarikat yang sedang berkembang akan mengunakan keuntungan tahunan untuk mengembangkan saiz syarikat. Maka pelabur akan mendapat keuntungan melalui kenaikan harga saham. Begitupun kenaikan harga saham syarikat bergantung kepada kecekapan pengurusan membangunkan perniagaan.

Syarikat-syarikat yang stabil seperti Petronas Gas akan memulangkan keuntungan tahunan kepada pelabur dalam bentuk dividen. Ini memberi pendapatan kepada pelabur secara berkala.

Oleh itu juka dana unit amanah banyak melabur dalam saham-saham syarikat yang sedang berkembang, ia akan dikenali sebagai Dana Pertumbuhan (Growth Fund).

Pelabur yang melabur dalam dana ini dapat mengharapkan pulangan yang lebih menarik dari segi kenaikan pasaran saham terutama apabila pasaran saham meningkat.

#2 Dana Pendapatan (Income or Dividend Fund)

Dari segi pelaburan dana, ia menyerupai Dana Pertumbuhan. Dana jenis ini melaburkan sehingga 90% asetnya dalam sekuriti pasaran saham di Bursa Saham manakala selebihnya dilaburkan dalam instrumen bon dan pasaran wang tempatan

Perbezaannya hanya dari segi pulangan di mana dana jenis ini lebih mengutamakan pembahagian dividen berbanding pertumbuhan modal. Maka dana jenis pendapatan akan banyak melabur dalam syarikat-syarikat besar yang mampu memberi dividen dengan konsisten.

Contohnya saham TNB akan sentiasa memberi dividen selagi mana rakyat Malaysia terus menggunakan tenaga elektrik. Begitu juga dengan saham MAXIS, DIGI dan seumpamanya.

Dalam keadaan pasaran saham yang tidak menentu memberikan kelebihan kepada dana jenis pendapatan berbanding dana jenis pertumbuhan.

#3 Dana Bon (Bond Fund)

Dana Bon pula menghadkan pelaburannya dalam bon dan Sekuriti Hutang Persendirian (Private Debt Securities) atau lain-lain produk kewangan yang menyerupai bon dan tidak membuat pelaburan dalam sekuriti ataupun ekuiti di bursa saham seperti kebanyakan dana saham amanah yang lain.

Untuk dana jenis patuh syariah ia dikenali sebagai Sukuk Fund

Risiko dana jenis ini lebih rendah daripada dana jenis pertumbuhan dan pendapatan. Pemilik bon atau sukuk akan dibayar dahulu sebelum pemilik equity tidak kira sama ada syarikat buat untung atau tidak. Bon adalah surat hutang dan hutang akan dibayar sama ada daripada keuntungan syarikat atau penjualan asset.

Oleh itu risiko dana jenis bon datang daripada keupayaan atau kegagalan syarikat membayar hutangnya.

#3 Dana Seimbang (Balanced Fund)

Dana unit amanah jenis ini adalah imbangan antara Dana Pertumbuhan dan Dana Bond dengan nisbah hampir 50:50. Secara amnya melabur sebahagian daripada modal di pasaran saham manakala sebahagian lagi dilaburkan dalam instrumen bon dan pasaran wang.

Kelebihan dana seimbang adalah memberi pulangan yang stabil walaupun pasaran saham turun dan naik. Di kala pasaran saham turun, pelaburan dalam bon atau sukuk akan memberi pulangan baik kepada dana ini. Begitu juga jika pasaran bon turun harga. Pelaburan dalam pasaran saham akan menyokong prestasi dana ini.

Begitu pun dana seimbang tidak dapat manfaatkan kenaikan pasaran saham 100%. Contohnya jika pasaran saham naik 10%, dana seimbang hanya naik 5% sahaja.

#4 Dana Pasaran Wang (Money Market Fund)

Dana jenis ini menghadkan pelaburannya dalam instrumen pasaran wang yang dibenarkan sahaja dan tidak membuat pelaburan dalam syarikat senaraian awam di bursa saham.

Dana jenis ini mempunyai risiko paling rendah berbanding dana saham amanah lain yang membuat pelaburan di pasaran saham. Namun begitu, pulangan daripada dana jenis ini juga adalah rendah.

Walaupun risiko kerugian hampir sifar, keuntungan dalam dana ini tidak mampu mengatasi kenaikan inflasi. Contohnya kadar pulangan 2% setahun sudah tentu tidak dapat membendung penyusutan nilai wang akibat inflasi 3% setahun.

#5 Dana Serantau

Dana ini dilaburkan di luar negara dan memberi peluang kepada pelabur untuk mendapatkan pendedahan pelaburan di negara lain dengan cara lebih kos efektif.

Dana jenis ini sesuai untuk pelabur yang mencari pelaburan di pasaran modal antarabangsa, tetapi dihalang oleh faktor seperti kos transaksi yang tinggi dan kekurangan informasi mengenai pelaburan berkenaan.

Namun dana ini terdedah kepada naik dan turun tukaran wang berbanding Ringgit Malaysia. Pada masa artikel ini ditulis, ringgit menurun berbanding mata wang serantau. Dalam situasi ini, pelabur dalam dana serantau akan mendapat kelebihan peningkatan nilai matawang asing. Sebaliknya jika Ringgit Malaysia meningkat maka pelabur akan mengalami kerugian.

#6 Dana Indek

Index fund dicipta untuk menjejaki prestasi indek. Indek utama pasaran saham di Malaysia ialah FTSE Bursa Malaysia KLCI. Terdapat 30 syarikat terbesar Malaysia yang membentuk KLCI.Komposisi saham indek FTSE BM KLCI

Prestasi indek bergantung kapada pergerakan turun dan naik harga saham 30 syarikat ini. Jika banyak saham syarikat-syariat ini naik maka KLCI akan turut naik.

Oleh kerana dana jenis indek akan menjejaki prestasi FTSE Bursa Malaysia KLCI, maka prestasi dana akan turun dan naik ikut indek.

Maknanya jika KLCI naik 10% maka Dana Indek akan ikut sama naik 10%. Begitu juga kalau KLCI jatuh.

Kesimpulan

Ibarat ukur baju di badan sendiri, kita mestilah tahu dana yang mana sesuai dengan kita. Dalam artikel seterusnya saya akan bincangkan faktor-faktor dalam menentukan kesesuaian pelabur dengan dana yang ada.

Elias Abllah, Personal Finance

0127176903

Jenis-Jenis Dana Unit Amanah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *