Setiap dua tahun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyemak semula kuantum Simpanan Asas (basic saving table) untuk mencapai sasaran minimum simpanan persaraan pada umur 55 tahun.

Kami baru dapat info kuantum simpanan asas dinaikkan daripada RM 228,000 kepada RM 240,000 berkuat kuasa 1 Januari tahun depan (2019).

Gambar di atas menunjukkan simpanan asas mengikut umur ahli KWSP. Di sebelah kanan ada menunjukkan cara pengiraan kelayakan pengeluaran pelaburan ahli.

Ahli KWSP akan perlu mempunyai simpanan yang lebih tinggi dalam akaun KWSP mereka untuk layak untuk menyertai Skim Pelaburan Ahli KWSP ke dalam unit amanah

Simpanan Asas akan digunakan sebagai panduan untuk ahli-ahli untuk menentukan jumlah yang dibenarkan untuk dipindahkan untuk pelaburan di bawah skim ini.

Kelayakan pengeluaran yang melebihi Simpanan Asas daripada Akaun 1 untuk melabur di bawah Skim Pelaburan Ahli adalah kekal 30% seperti sebelumnya.

Simpanan Asas merujuk kepada jumlah yang dianggap mencukupi untuk menyokong keperluan asas persaraan ahli selama 20 tahun dari usia 55 hingga 75 selaras dengan jangka hayat Malaysia.

Simpanan asas baru ini adalah berdasarkan pencen minimum daripada RM 950 kepada RM 1,000 sebulan dari usia 55 hingga 75.

Dengan kata lain, seorang pesara swasta akan menghabiskan simpanan RM 240,000 pada umur 75 tahun dengan perbelanjaan RM 1,000 sebulan.

Soalan seterusnya ialah, bolehkah pesara hidup selesa dengan wang belanja RM 1000? Jelas sekali KWSP sahaja tidak mencukupi untuk persaraan.

Anda perlu ada pelbagai sumber pendapatan apabila bersara kelak. Rumah sewa, simpanan emas dan unit amanah akan dapat menampung ‘shortfall’ daripada simpanan KWSP.

Skim pelaburan Ahli KWSP ke dalam unit amanah bertujuan untuk menyediakan ahli dengan pilihan meningkatkan simpanan persaraan mereka dengan meletakkan sebahagian daripada simpanan KWSP dalam Akaun 1 untuk dilaburkan dalam dana unit amanah diuruskan oleh pengurus dana dilantik oleh KWSP.

Sebelum menyertai skim ini, ahli-ahli KWSP perlu membaca prospektus untuk memahami sepenuhnya produk pelaburan dan perlu mendapatkan nasihat penasihat kewangan profesional.

Sekian.

Jadual Simpanan Asas Baru Skim Pelaburan Ahli 2019
Tagged on:         

One thought on “Jadual Simpanan Asas Baru Skim Pelaburan Ahli 2019

  • November 2, 2018 at 12:51 pm
    Permalink

    Skim ini banyak bagus. Bagi semua ahli KWSP boleh ada satu jalan lagi bagi mereka membuat pelaburan supaya dapat bersara dengan senang nanti.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *