Kejatuhan harga minyak bulan Mac 2020 disebabkan banyak faktor dan Covid-19 antaranya. Bermakna, jika dunia bebas daripada Covid-19 harga minyak akan kekal rendah. Apa kesannya kepada rakyat dan negara?

Thermostat vs Thermometer

Sekali dengar, thermostat dan thermometer adalah alat berkait dengan suhu. Ada beza yang jelas antara keduanya. Thermometer hanya baca suhu tapi tidak dapat mengubah suhu seperti thermostat.

Orang ramai yang faham harga minyak turun disebabkan formula apungan minyak atau pertukaran kerajaan baru, keliru antara thermometer dan thermostat.

Segala formula, teori dan siapa menteri hanyalah thermometer yang tak dapat ubah apa-apa ‘suhu’ harga minyak. Kecuali kalau ada subsidi dan cukai, barulah ia menjadi thermostat.

Sekarang thermostat dah rosak. Hanya ada thermometer.

OPEC Gagal

Cartel minyak antarabangsa sudah hilang taringnya. Ini kerana pada hari ini OPEC hanya menguasai 30% daripada pengeluaran minyak mentah dunia. Pada tahun 2012 mereka pegang 35% dan pada suatu ketika pegang lebih 50% pengeluaran minyak dunia.

Pada tahun 2014, dalam usaha untuk meningkatkan pegangan minyak antarabangsa, OPEC diketuai Saudi telah membanjirkan pasaran dengan minyak murah dalam usaha mengekang pengeluaran minyak Amerika yang lebih mahal.

Dunia dan Malaysia tekesan dengan harga minyak turun daripada USD 60 setong kepada bawah USD 40 setong.

Pada hari ini terbukti usaha OPEC untuk meningkatkan pegangan mereka gagal. Amerika kembali menjadi pengeluar minyak no 1 dunia dengan pengeluaran minyak US 12 juta tong sehari. Diikuti oleh Russia dan Saudi masing-masing 10.8 juta dan 9.6 juta sehari.

Peningkatan pengeluaran minyak Amerika telah menambahkan lagi bekalan minyak dunia seterusnya menghadkan kenaikan harga minyak.

Kebergantungan ekonomi Russia dan Saudi kepada minyak menyebabkan mereka yang lebih banyak rugi apabila mengurangkan pengeluaran minyak sendiri.

Pada 6 March, Russia tidak bersetuju untuk mengurangkan lagi pengeluaran minyak, seterusnya harga minyak menjunam sebanyak 10% dalam masa sehari.

Dividen PETRONAS

Setiap satu dolar harga minyak turun akan menghakis RM 1 billion keuntungan belum cukai PETRONAS. Turun 20 dolar, kurang untung RM 20 bilion.

Maka akan kuranglah kemampuan PETRONAS untuk bayar dividen kepada Kerajaan Malaysia. Tukar kerajaan pun, dividen kepada kerajaan tak boleh kurang. Tak kisah lah siapa Perdana Menteri.

Lebih malang lagi, jika harga minyak terus rendah, ada kemungkinan lebih ramai pekerja minyak dan gas hilang kerja.

GST Kembali

GST dilahirkan ketika hasil minyak negara kurang. Kutipan GST RM 40 bilion lebih daripada cukup dapat menampung kekurangan dividen daripada PETRONAS.

Arwah GST mungkin hidup kembali kerana hasil SST tidak sentanding dengan GST. Kalau kembali, ia bakal menghantui rakyat Malaysia dengan kenaikan harga barang.

Susah nak kawal harga barang kerana ia umpama benda ghaib yang sukar untuk dirukyahkan dengan ayat-ayat kempen turunkan harga barang.

Covid 19 dan Ekonomi

Ekonomi China terkesan dengan perang dagang dengan Amerika pada tahun 2019. Belum lagi reda perang dagang, datang pula wabak corona virus pada hujung 2019.

Terbaru, IMF telah potong ramalan pertumbuhan ekonomi China lebih perlahan pada kadar 6% sahaja untuk tahun 2020.

Kuarantin, kerja dari rumah dan perjalanan terhad menyebabkan permintaan minyak dari China jatuh merudum. Di sektor LNG, banyak kargo telah dibatalkan akibat banyak kilang-kilang tutup.

Kemudian, virus Covid-19 telah berjaya dieksport ke seluruh dunia.

Covid-19 itu sendiri tidaklah memberi kesan besar kepada ekonomi tetapi langkah pencegahan yang memberi kesan besar ditambah dengan kegelabahan orang ramai.

Maksud saya, Covid-19 tidak kurang bahaya seperti AIDS, denggi atau obesiti. Tetapi obesiti tidak memerlukan orang ramai berkurung di rumah untuk mencegahnya.

Selagi belum ada vaksin dan cara yang lebih tepat mencegahnya, selagi itu ekonomi dunia akan terancam olehnya.

Kesimpulan

Ramai yang gembira dengan turunnya harga RON 95 minggu ini. Seakan-akan hadiah daripada kerajaan baru. Saya pasti ramai yang faham harga minyak bukanlah ditentukan oleh siapa yang jadi kerajaan.

Siapa yang janjikan harga minyak lebih murah, tentulah tidak belajar daripada saudara Rafizi. Tidak mustahil harga minyak boleh turun hingga RM 1.50 seliter. Kalau ia terjadi, ketawalah untuk diri sendiri.

Wassalam

Elias Abllah

Harga Minyak Dunia Jatuh. Nak Ketawa Atau Menangis
Tagged on:     

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *