Aset ialah sesuatu perkara atau benda bernilai yang dimiliki oleh seseorang. Pemilik aset mendapat manfaat daripada kenaikan nilainya di masa depan atau daripada aliran tunai yang terhasil darinya.

Contohnya hartanah yang kita beli boleh disewakan dan harganya meningkat setiap tahun. Pemilik saham pula menerima dividen dan harga saham boleh meningkat bergantung kepada prestasi perniagaan. Manakala pemilik emas hanya boleh mengharapkan harga emas naik tanpa menghasilkan sebarang aliran tunai.

Sebelum aset ini menjadi hak kita, ianya kepunyaan orang lain. Tanah ada tuan tanah dan saham ada pemegang saham. Maka untuk memiliki aset ini, mesti ada jual beli, melainkan ianya harta pusaka atau diberi percuma daripada pemilik asal.

Untuk pemilik asal jual haknya, harga yang ditawarkan pembeli haruslah sama atau melebihi manfaat masa depan yang dilepaskan, barulah dia untung.

Untuk pembeli pula, harga yang ditawarkan pula haruslah lebih rendah daripada manfaat yang akan diperolehi di masa depan, barulah dia untung.

Tawar menawar akan berlaku hingga harga yang munasabah dipersetujui. Akhirnya, duit dan aset akan bertukar tangan.

Proses menukar duit kepada aset inilah yang dinamakan pelaburan. Guna gaji beli aset dengan harapan aset ini boleh beri gaji lebih besar di masa depan. Risiko ialah kebarangkalian harapan ini tidak tercapai.

Image courtesy of KROMKRATHOG at FreeDigitalPhotos.net

Risiko bermaksud ketidaktentuan yang boleh membawa kerugian. Ketidaktentuan ialah pengetahuan terhad tentang masa depan.

Ketidaktentuan harga minyak, geopolitik, bencana alam dan nilai ringgit boleh membawa risiko kepada pelaburan anda. Jika anda tidak melabur sekalipun, ketidaktentuan ini boleh mempengaruhi pekerjaan dan pendapatan anda.

Sebagai timbal balik atas risiko yang anda tanggung, pulangan pelaburan haruslah setimpal.

Untuk itu, objektif pelaburan hendaklah ditetapkan terlebih dahulu. Apa yang anda ingin capai dan berapa lama masa yang anda perlukan? Lebih lama jangka masa, lebih tinggi risiko yang boleh di ambil demi mendapat keuntungan yang lebih tinggi.

Mengharap mendapat keuntungan tinggi dalam masa pendek, bukanlah pelaburan namanya. Itu ialah spekulasi. Bukan tidak boleh untung dengan spekulasi tetapi perpisahan anda dengan duit anda, boleh jadi buat selama-lamanya.

“Investing is an activity in which consumption today is foregone in an attempt to allow greater consumption at a later date. Risk is the possibility that this objective won’t be attained”, kata Warren Buffet dalam laporan tahunan Berkshire Hathaway  2017.

Elias Abllah, Personal Finance

Falsafah Pelaburan
Tagged on:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *