Harman seorang eksekutif syarikat minyak dan gas terpaksa menanggung bayaran kereta mewah BMW yang tidak pernah dia miliki.

Ini gara-gara menjadi penjamin kepada sepupunya untuk membeli kereta tersebut yang kemudian sepupunya tersontot dengan skim MLM ala piramid.

Semasa sepupu Harman memujuk untuk menjadi penjamin, semuanya indah. Tetapi sekarang semuanya hampas.

Tidak mahu jadi bankrap, terpaksalah dia terus membayar baki hutang setelah kereta dilelong.

Anda tentu banyak kali dengar cerita begini kan? Jika sepupu Harman membayar macam biasa, tiada apa yang berlaku. Malah jika Harman nak membeli rumah lagi satu, hutang kereta yang dia menjadi penjamin tidak di ambil kira.

Begitu juga di peringkat negara. Dalam keadaan normal, hanya hutang kerajaan persekutuan yang di ambil kira. Hutang yang dijamin seperti PTPTN tidak perlu diambil kira.

Tetapi dalam keadaan krisis ekonomi, graduan universiti bakal menganggur, ada bank yang perlu diselamatkan, ada kerajaan negeri yang perlu duit untuk bayar gaji dan seumpamanya. Ini semua perlu diambil kira untuk mengukur kemampanan ekonomi negara.

Pada tahun 2008, tahun krisis ekonomi global bermula, kerajaan US melalui Federal Reserve, bukan sahaja menangggung hutang sedia ada dan hutang yang dijamin malah terpaksa menanggung hutang bertoksik yang dibuat oleh AIG Insurance. Itupun setelah Lehman Brothers dibiarkan bankrap sebelumnya.

Dalam menentukan jumlah hutang negara, ia amat jelas yang hutang Malaysia belum mencecah RM 1 Trillion. Pun begitu angka 1 trillion lambat laun akan cecah juga, walaupun tanpa mengambil kira hutang yang dijamin.

Malah, dalam perkembangan inflasi, 1 trillion seterusnya akan mengambil masa lebih cepat untuk sampai berbanding 1 trillion pertama. Tetapi tidak bermakna dengan hutang bertrillion ekonomi makin merosot.

Mungkin bertambah rancak!

Harman sekarang lebih bijak. BMW dibelinya dan dipakainya sendiri. Peduli apa kena tambah hutang lagi asal kan tak sakit hati lagi.

Wassalam.

Elias Abllah

Berapa Hutang Anda dan Hutang Negara Anda?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *