Saya menjadi ejen dan juga pelabur unit trust daripada Public Mutual sejak tahun 2005 lagi. Saya sendiri sudah pun mendapat keuntungan melalui pelaburan tunai dan melalui skim pelaburan KWSP. Di samping itu hampir semua client saya mendapat keuntungan daripada pelaburan unit trust Public Mutual.

Begitupun saya dapati masih ramai yang belum mendapat manfaat pelaburan unit trust akibat tiada pengetahuan dan mendapat pula nasihat yang salah. Malah, masih ramai yang belum pernah dengar nama Unit Trust.

Oleh itu, dalam artikel panjang ini saya ingin kongsikan ilmu mengenai pelaburan unit trust dan menjadi panduan kepada pelabur-pelabur unit trust dan juga sebagai peringatan kepada ejen-ejen unit trust. Secara spesifik, topik yang saya akan cover ialah;

  1. Apakah Itu Unit Trust
  2. Macam Mana Nak Kumpul RM 1 Juta Dalam 15 Tahun Dengan Unit Trust
  3. Mengapa Labur Dalam Unit Trust?
  4. Nasihat Popular Yang Salah
  5. Macam Mana Nak Mula Melabur?

Apa Itu Unit Trust?

Dalam Bahasa Melayu unit trust bermaksud unit amanah. Di Malaysia istilah unit trust lebih popular daripada unit amanah.

Di Malaysia terdapat 36 syarikat pengurus dana swasta. Dalam statistic di bawah, saya tunjukkan 10 syarikat unit trust utama berdasarkan saiz dana yang diuruskan.

unit-trust-yang-paling-popular-public-mutual

Daripada segi istilah, unit amanah adalah satu bentuk pelaburan kolektif yang membolehkan pelabur yang mempunyai objektif pelaburan yang sama untuk mengumpulkan simpanan mereka, yang kemudiannya dilaburkan dalam saham atau aset lain yang diuruskan oleh pengurus dana profesional.

Bergantung kepada jenis dana, pengurus dana mungkin melabur dalam aset berikut:

  • Bonds
  • Stocks
  • Derivatives
  • Money market instruments
  • Cash
  • Property

Aset-aset ini merupakan aset yang produktif yang akan menjana keuntungan kepada pemiliknya. Jadi sebagai pelabur unit trust, anda memiliki aset-aset ini secara tidak langsung.

Oleh itu setiap sen yang anda laburkan dalam unit trust adalah mewakili pelaburan dalam aset-aset ini.

Macam Mana Pelabur Untung?

Jika aset-aset yang dilaburkan itu naik nilainya, maka kenaikan ini akan diterjemahkan dengan kenaikan harga seunit unit trust.

Ataupun, aset-aset ini memberi pendapatan tunai seperti dividen atau sewa, makan pendapatan ini juga akan diterjemah dengan kenaikan seunit unit trust yang pelabur miliki.

Begitu juga sebaliknya apabila nilai aset-aset ini turun nilai dan tidak memberikan pendapatan, maka harga seunit unit trust akan menurun.

Turun naik nilai aset-aset ini bergantung kepada keadaan ekonomi semasa, kadar interest, kadar tukaran matawang dan kecekapan ahli korporat yang menguruskan aset-aset pelabur.

stesen-tnb-jana-manjung
Stesen Janakuasa TNB. Siapa pemilik TNB?

Contohnya, TNB menjadi pilihan ramai pengurus dana untuk melaburkan duit pelabur unit trust. Saban tahun TNB tetap menjana keuntungan tidak kira apa musim sekalipun kerana penguna di Malaysia tiada pilihan untuk mendapatkan tenaga elektrik selain daripada TNB.

Namun, jika CEO dan pengurusan TNB tidak cekap, tidak mustahil TNB boleh juga mengalami kerugian.

Macam Mana Nak Kumpul RM 1 Juta Dalam 15 Tahun Dengan Unit Trust

15 tahun adalah jangka masa yang tidak terlalu lama dan juga tidak terlalu pendek.

Kalau umur sekarang 25 tahun, maka dalam 15 tahun lagi dah berumur 40 tahun. Best tak kalau umur 40 tahun dah ada RM 1juta, sedangkan kawan-kawan masih ramai bayar installment kereta ke tiga?

Kalau umur 40 tahun, maka dalam 15 tahun dah umur 55 tahun… best tak kalau ada additional RM 1Juta bila pencen nanti di samping jutaan dalam KWSP?

Pocket Calculator. Siapa nak? FREE
Pocket Calculator. Siapa nak? FREE je

Ataupun anda bakal menjadi pesara kerajaan dengan duit pencen seumur hidup, best kan kalau ada lagi cash RM 1 juta sebagai tambahan?

Mari kita belajar kira dengan guna pocket calculator yang simple.

Contoh ini ialah dengan assumption 10% berdasarkan pulangan purata unit trust. Ianya bukanlah jumlah yang pasti dapat. Let me put into perspective.

Kalau pandai monitor dan review performance, mungkin RM 1,000,000 boleh dicapai lebih awal daripada 15 tahun. Kalau malas dan tidak belajar, mungkin terlajak jadi 18-20 tahun baru cecah RM 1,000,000.

Kalau tak simpan, jadi kenang-kenangan ajelah.

Mengapa Melabur dalam Unit Trust?

Pelabur unit trust boleh mendapat manfaat daripada pelbagai kelebihan yang biasanya tidak disediakan untuk pelabur individu. Beberapa manfaat ini termasuk:

Kepelbagaian

Mantra pelaburan yang biasa didengari ‘Don’t put all your eggs in one basket’ atau ‘diversification’ ini banyak kali diulang-ulang kerana kepentingannya untuk mengurangkan risiko pelaburan.

pengurusan-risiko-dalam-unit-amanah

Dana unit trust dilaburkan ke dalam lebih daripada 50 syarikat senaraian awam. Meliputi pelbagai sektor seperti barangan pengguna, syarikat minyak, kelapa sawit, kesihatan, komunikasi dan sebagainya. Ada juga unit trust yang melabur di luar negara.

Oleh itu kepelbagaian dicapai merentasi pelbagai sektor ekonomi dan geografi. Untuk pelabur yang mempunyai modal terhad, amat sukar untuk mencapai tahap kepelbagaian seperti ini.

Modal Pelaburan Rendah

Melalui unit trust, dengan modal serendah RM 1000 kita sudah boleh menyertai pasaran saham dengan risiko yang rendah berbanding melabur secara terus di Bursa Malaysia. Setiap pelaburan tambahan pula serendah RM 100. Jadi amat murah dan mudah kalau kita ingin terus melabur setiap bulan.

Dengan unit trust, semua orang mampu melabur.

pelaburan-yang-affordable-unit-trust

Kita juga boleh mula melabur dalam pasaran luar negara seperti Singapura atau US dengan modal serendah RM 1000. Dalam keadaan ringgit yang menjunam, bagus juga kalau ada alternatif melabur ke luar negara dengan mudah, murah dan risiko terkawal.

Fleksi

Jika pelabur terdesak duit, tidak perlu menjual keseluruhan pelaburan mereka. Hanya jual jumlah yang perlu sahaja.

Sebagai contoh, Ahmad dan Awang masing-masing ada wang RM 1 juta. Ahmad melabur dalam hartanah dan Awang melabur dalam unit trust dengan jumlah pelaburan masing-masing RM 1 juta.

Selepas setahun pelaburan hartanah dan unit trust naik 10%.

Jika Ahmad ingin mendapat wang tunai daripada keuntungan dalam pelaburan hartanah, dia terpaksa jual rumah. Manakala Awang hanya perlu keluarkan berapa jumlah yang diperlukan sahaja daripada unit yang ada dan bakinya terus dilaburkan.

flexi-zirafah

Inilah yang saya maksudkan fleksibel dalam pelaburan unit trust. Begitu juga jika ingin menambah pelaburan. Tentunya dengan RM 100 lebih mudah buat pelaburan unit trust daripada pelaburan hartanah

Tokoh pengurus dana tersohor Peter Lynch mengatakan unit trust satu inovasi pelaburan yang hebat untuk pekerja biasa yang macam kita. Kita tidak mempunyai masa, kepakaran dan modal yang besar untuk menjadi pelabur sepenuh masa.

Tahap kecairan pelaburan yang tinggi

Apa maksud kecairan di sini atau liquidity dalam Bahasa Inggeris?

Secara mudahnya kecairan bermaksud berapa mudah kita mendapat wang tunai daripada pelaburan kita tanpa dikenakan yuran atau caj kerana buat pengeluaran sebelum matang.

Dengan pelaburan unit trust, anda boleh keluarkan pelaburan anda bila-bila masa sahaja tanpa ada penalti mengikut harga semasa.

Unit trust mempunyai kecairan yang tinggi. Manakala tahap kecairan hartanah adalah rendah kerana mencari pembeli dengan harga yang kita inginkan memakan masa. Kalau ingin dapatkan duit tunai cepat, terpaksa beri diskaun tinggi dan jual rumah di bawah harga pasaran.

liquidity

Pengurusan Profesional

Unit trust diuruskan oleh profesional dan berpengalaman dalam dunia pelaburan. Mereka mempunyai kemahiran dan kajian untuk mengawasi pelaburan kita.

Syarikat unit trust pula dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti untuk memastikan industri unit trust mempunyai tahap piawai yang tinggi.

Ada juga yang mencadangkan pelabur melabur secara terus ke dalam pasaran saham. Setelah mengikuti kursus dan sedikit pembacaan, ramai yang tidak sabar untuk terjun ke dalam pelaburan saham.

Kajian mendapati pelabur-pelabur kecil ini overconfidence dengan skill dan pengetahuan pelaburan masing-masing. Mereka suka buat sendiri atau D.I.Y (Do It Yourself)

D.I.Y dalam pelaburan tidak sama dengan D.I.Y pasang kabinet dapur.

Ramai yang asalnya ingin buat keuntungan besar dengan cepat di pasaran saham tetapi tersalah langkah dan akhirnya menunggu masa yang lama untuk mendapat kembali nilai pelaburan asal.

Kadang-kadang ada benarnya ungkapan ‘Long term investment is a short term investment failure’

image from icfmindia.com
image from icfmindia.com

Untung atas Keuntungan atau Compounding

Compounding, is the ability of an asset to generate earnings, which are then reinvested in order to generate their own earnings (sumber: Investopedia)

Ada dua sumber modal. Pertama, modal pelaburan boleh datang daripada titik peluh kita. Kedua, modal pelaburan juga boleh datang daripada keuntungan pelaburan itu sendiri. Contohnya tahun pertama modal pelaburan kita ialah RM 10,000. Setelah setahun pelaburan kita mencatatkan keuntungan sebanyak RM 1,000. Pulangan sebanyak 10%

Kita boleh pilih untuk makan keuntungan ini atau dilaburkan semula. Jika kita laburkan semula maka ianya menjadi modal untuk menjana keuntungan lagi.

Untung atas untung dan duit boleh berkembang biak sendiri.

Cuba congak berapa jumlah keuntungan jika keuntungan terus menerus dilaburkan dengan kadar pulangan 10% setahun selama 40 tahun. Berapa jawapannya?

Kalkulator saya memberi jawapan RM 452,593!

Untuk meletakkan angka ini ke dalam perspektif, berapakah agaknya di kalangan kita pada umur 40 tahun mempunyai RM 452,593. Ini adalah ajaib kerana RM30,000 pun belum tentu ramai yang ada.

Kos Efektif

Setiap pelaburan tidak boleh lari daripada kos dan cukai. Pelaburan hartanah memerlukan modal yang besar dan pelbagai kos lain. Pelaburan saham juga ada caj broker dan duty stamp yang perlu dibayar.

Cas-cas dalam pelaburan unit trust adalah caj jualan dan caj pengurusan. Caj jualan antara 5-6% dan caj pengurusan ialah 1.5% setahun. Jika anda melabur RM 1000, maka caj jualan ialah RM 47.62. Bermakna hanya RM 952.38 yang akan dilaburkan.

Kos pelaburan saham adalah 0.6% setiap kali transaksi sama ada jal atau beli. Jika dibandingkan dengan kos membeli saham secara terus di Bursa Malaysia, maka unit trust akan kelihatan lebih mahal.

Namun ia bergantung bagaimana anda merendahkan kos pelaburan untuk jangka masa panjang. Contohnya dengan modal RM 10,000 jumlah caj yang terpaksa dibayar untuk membeli saham ialah;

Brokerage fee: 0.42%

1) Jumlah pembelian 1 lot:

RM 0.78 x 100 unit = RM 78.

2) Jumlah pembelian yang dapat dibuat dengan modal RM 10,000:

RM 10,000 / RM 78 = 128.21 lot

  • Tetapi pembelian odd lot seperti di atas tidak dibenarkan.
  • Kos brokerage, clearing fees, GST dan stamp duty juga perlu diambil kira.
  • Maka pembelian dibuat sehingga 125 lotsahaja (12,500 unit)

3) Jumlah pembelian sebenar yang dibuat:

RM 0.78 x 12,500 unit = RM 9,750

4) Jumlah brokerage fee:

0.0042 x RM 9,750 = RM 40.95

5) Clearing fee

0.0003 x RM 9,750 = RM 2.93

6) GST yang perlu dibayar

0.06 x [RM 40.95 + RM 2.93] = RM 2.63

7) Stamp duty

RM 9,750 dibundarkan menjadi RM 10,000, maka jumlah yang perlu dibayar adalah RM 10.

Jumlah Yang Perlu Disediakan

Jumlah kasar: RM 9,750.00

Fi sebelum GST: RM 53.88

GST : RM 2.63

Jumlah: RM 9,806.51

Jika anda beli dan simpan saham ini seumur hidup, maka kos pelaburan anda sangat rendah. Tetapi biasanya pelabur-pelabur saham kebanyakannya terlalu aktif membeli dan menjual. Kadang-kadang beli pagi, petangnya terus jual mengambil untung.

Apabila banyak transaksi dilakukan, kos akan meningkat. Contohnya jika terdapat 5 kali setahun jual dan beli, kos transaksi ialah 0.6%x 5x 2 = 6%.

Sekiranya ini dilakukan selama bertahun-tahun, tanpa disedari modal pelaburan terhakis oleh caj-caj ini.

Dengan pelaburan unit trust, anda tidak perlu terlalu kerap menjual dan membeli. Anda boleh gunakan ‘switching facilities’ untuk keluar dan masuk ke dalam unit trust tanpa caj tambahan.

Sekiranya anda melabur untuk 20 tahun, caj jualan 6% dibahagikan dengan 20 tahun akan menjadi 0.3% setahun sahaja. Lagi lama anda melabur lagi kos efektif pelaburan anda

Nasihat Popular Yang Salah

“…there is a world of difference between good advice and advice that sounds good.” Jason Zwieg

Permulaan artikel ini ada saya sebutkan, walaupun unit trust ini merupakan pelaburan yang menguntungkan, tetapi ramai juga pelabur yang mengalami kerugian akibat tiada pengetahuan dan mendapat pula nasihat yang salah.

wrong-opinion

Berikut saya senaraikan antara nasihat-nasihat popular tetapi salah. Tidak semestinya yang difahami ramai itu betul.

Harga Seunit 25 Sen Lebih Baik Daripada 100 Sen

Biasanya pelabur berminat dengan unit trust yang berharga 25 sen seunit berbanding dengan unit trust berharga seringgit. Ini dengan anggapan harga unit yang rendah mempunyai potensi untuk naik lebih tinggi.

Ini adalah mitos semata-mata.

Prestasi unit trust tidak bergantung kepada harga tawaran seunit sama ada rendah atau tinggi. Contohnya Dana A harga tawaran permulaan RM 0.25/unit dan Dana B harga tawaran RM 1/unit.

Jika anda mula melabur dengan RM 5000 untuk kedua-dua unit trust tersebut, maka untuk Dana A anda akan dapat 20000 unit dan Dana B anda akan dapat 5000 unit

Andaikan kedua-dua Dana A dan Dana B dilaburkan hanya dalam saham Petronas Dagangan Berhad, maka untung atau rugi bergantung kepada prestasi harga saham Petronas Dagangan. Adakah prestasi keuntungan Petronas Dagangan bergantung kepada sama ada harga unit trust RM 0.25 sen/unit atau RM 1.00/unit?

Tentu sekali tidak.

unit trust performance 2
Harga terkini pada column sebelah kanan sekali. Senarai disusun mengikut abjad nama dana.

Harga seunit yang rendah atau tinggi tidak akan mempengaruhi prestasi Petronas Dagangan atau syarikat-syarikat di Bursa Malaysia. Harga seunit yang rendah juga tidak akan mempengaruhi harga minyak atau kecekapan pengurusan.

Hasil daripada pencarian di Morningstar membuktikan harga yang lebih rendah tidak bermakna lebih baik atau sebaliknya. Anda perlu lihat pulangan 1 tahun, 3 tahun atau 10 tahun untuk mengukut prestasi dana dan bukan rendah atau tinggi harga seunit.

Oleh sebab itu harga tawaran seunit yang rendah tidak memberi sebarang kelebihan kepada pelabur.

Unit Trust Yang Baru Sentiasa ‘Outperform’ Unit Trust Lama

Mitos ini ada sedikit berkait dengan mitos yang pertama. Kononnya unit trust yang baru harga masih rendah dan boleh naik lebih tinggi.

Sebenarnya tiada kaitan yang jelas antara umur unit trust dengan pretasinya. Boleh sahaja unit trust yang baru outperform yang lama dan juga sebaliknya.

unit trust performance 3

Saya bawakan contoh beberapa dana yang dilancarkan pada tahun yang berbeza-beza. Ada yang lama ada yang baru.

Contohnya Public Ittikal dilancarkan pada tahun 1997 mencatatkan pulangan lebih tinggi daripada Public Islamic Optimal Growth yang dilancarkan pada tahun 2008.

Ada juga dana yang baru lebih baik daripada dana yang lama.

Oleh itu kesimpulan tidak boleh dibuat bahawa dana yang baru dilancarkan akan sentiasa lebih baik daripada dana yang lama.

Prestasi dana di masa hadapan akan ditentukan oleh keadaan pasaran saham yang tiada siapa yang dapat meneka dengan tepat.

Contohnya, apabila unit trust baru dilancarkan, ia akan mengambil masa untuk dilaburkan sepenuhnya dalam pasaran saham. Berbeza dengan dana lama yang sudah dilaburkan sepenuhnya.

Dalam keadaan harga saham meningkat, maka unit trust lama akan outperform kerana ianya sudah dilaburkan sepenuhnya.

Manakala fund baru akan underperform dalam situasi ini kerana dana baru masih simpan banyak wang tunai. Contohnya, jika hanya 50% daripada wang dana dilaburkan dalam pasaran saham, apabila pasaran saham naik 10% dana ini akan mencatat kenaikan 5% sahaja.

Berbanding dana lama yang 100% sudah dilaburkan ke dalam pasaran saham akan siap sedia menikmati kenaikan harga saham bila-bila masa.

Yang sebaliknya akan berlaku jika pasaran saham menjunam. Unit trust baru akan outperform kerana dananya masih sedikit dalam pasaran saham berbanding unit trust yang lama.

Unit Trust Yang Kecil Lebih Baik Daripada Yang Besar

Semakin besar saiz dana unit trust semakin banyak wang yang pengurus dana ada untuk dilaburkan. Sebarang pembelian berskala besar boleh mempengaruhi pergerakan harga saham. Contohnya KWSP, sebarang pembelian atau jualan saham oleh KWSP akan menjadi perhatian pelabur lain.

Oleh sebab itu, menjadi tanggapan biasa bahawa lagi kecil saiz unit trust lagi baik.

Walaubagaimanapun, hasil tinjauan di Morningstar, kebanyakan unit trust yang bersaiz besar outperfom berbanding yang saiz kecil

Senarai Unit Trust Islamik saiz RM 10juta
Senarai Unit Trust Islamik saiz RM 10juta

Ini menunjukkan unit trust yang besar mempunyai peluang yang lebih baik untuk outperform unit trust yang kecil. Economic of scale umpamanya, memberi kelebihan kepada unit trust yang besar.

Senarai Init Trust Islamik saiz RM 200 Juta dan lebih
Senarai Init Trust Islamik saiz RM 200 Juta dan lebih

Faktor lain yang boleh difikirkan ialah tahap ‘diversification’, yang mana unit trust yang besar boleh mempelbagaikan pelaburannya.

Walaubagaimanapun ‘over-diversification’ boleh menyebabkan prestasi unit trust menjadi ‘average’. Maknanya naik dan turun mengikut aliran pasaran. Contohnya, KLCI naik 10%, unit trust naik 10%. Begitu juga bila KLCI turun.

Oleh sebab itu unit trust yang kecil tidak semestinya baik. Malah yang lebih besar mempunyai banyak kelebihan.

Lebih Tinggi ‘Dividen’ Lebih Baik

Ini mitos terbesar. Dividen unit trust tidak sama dengan dividen saham atau dividen ASB. Oleh sebab itu istilah ‘distribution’ lebih tepat untuk unit trust. Dalam Bahasa Melayu ialah pengagihan.

Distribution atau pengagihan dalam unit trust tidak lebih hanyalah memulangkan balik sebahagian daripada nilai pelaburan.

Contohnya, harga Unit Trust A pada 15 Oktober 2015 ialah RM 1.20. Kemudiannya pada 16 Oktober 2015 pengagihan sebanyak 20 sen diumumkan. Jika Ahmad ada 10,000 unit dalam Unit trust A, berapakah jumlah pelaburan Ahmad pada 16 Oktober?

Ramai yang menganggap yang pulangan Ahmad pada 16 Oktober adalah 20%. Sebenarnya tidak.

Apa yang akan terjadi pada 16 Oktober ialah, Ahmad akan mendapat pengagihan sebanyak

RM0.20/unit x 10000 unit = RM 2000,

Manakala harga Unit Trust A pada 16 Oktober ialah RM 1.00

Maka baki pelaburan Ahmad dalam Unit Trust A pada 16 Oktober ialah:

RM1.00/unit x 10000 unit = RM 10,000

Dicampur dengan dividen menjadi RM 12,000

Maka tidak ada bezanya dengan jumlah total yang Ahmad ada pada 15 Oktober iaitu sebanyak

RM 1.20/unit x 10000 unit = RM 12,000

Kalau macam ini, apa untungnya melabur unit trust?

Perlu diingat kita tidak tahu berapakah harga seunit yang Ahmad beli ketika mula melabur. Mungkin dia beli Unit Trust A pada harga 80sen/seunit. Maka jumlah asal pelaburan ialah hanya

RM 0.80/unit x 10000 = RM 8,000

Berbanding dengan jumlah pelaburan pada 15 dan 16 Oktober 2015, RM 12,000.

Dalam contoh ini pulangan pelaburan adalah RM 4,000 atau 50%.

Oleh sebab itu, jumlah dividen bukanlah indikasi prestasi pelaburan unit trust.

Bagus Beli Unit Trust Sehari Sebelum Dividen

Ini amat berkait dengan mitos di atas.

Menggunakan contoh yang sama di atas, Nabil melabur pada 15 Oktober 2015 dengan membeli 10,000 Unit Trust A.

Maka nilai initial investment Nabil ialah

RM 1.20/unit x 10,000 = RM 12,000.

Hari berikutnya beliau menerima dividen/distribution sebanyak RM 2000.

Patutkah Nabil ambil RM 2000 dan beli i-Pad atau tempah tiket penerbangan ke Perth Australia?

Haha.. RM 2000 itu bukan untung pelaburan, tapi duit Nabil sendiri yang dipulangkan melalui pengagihan.

Oleh sebab itu membeli unit trust sebelum distribution adalah mitos yang merugikan.

Sebagai pelabur kita mesti bijak dalam menilai nasihat percuma. Nasihat percuma ini banyak di Facebook dan juga kawan-kawan. Jangan terpengaruh dengan pelbagai nama seperti wealth planner, financial advisor dan sebagainya.

Kitalah yang lebih utama untuk mencari ilmu pelaburan. Dengan ilmu dapatlah kita bezakan antara nasihat yang bunyi macam betul dengan nasihat yang betul

Strategi Pelaburan Unit Trust

Ada tiga cara yang berkesan untuk memaksimakan pelaburan anda dalam unit trust, iaitu:

  1. Ringgit Cost Averaging
  2. Lump-Sum Investment
  3. Switching

Ringgit Cost Averaging (RCA)

RCA bermaksud program pelaburan dengan jumlah yang tetap pada tiap-tiap bulan, tidak kira sama ada ribut atau taufan dan hujan atau kemarau.

Contohnya anda melabur RM 1000 setiap bulan kedalam unit trust melalui Direct Debit Instruction (DDI).

Biasanya kita buat DDI untuk bayar hutang kereta di mana harga kereta sudah pasti turun daripada bulan ke bumi.

Tetapi melalui DDI ke dalam unit trust kita membeli asset yang mana untuk jangka masa panjang nilainya akan sentiasa meningkat daripada bulan ke bintang.

Walaubagaimanapun, untuk jangka masa singkat harga aset yang kita beli mungkin naik dan turun mengikut sentiment pasaran semasa.

Ketika harganya turun kita boleh mengumpul unit dengan lebih banyak dan apabila harganya kembali pulih kita akan mendapat lebih keuntungan daripadanya.

Contohnya, katakan harga satu unit pada Januari 2016 ialah RM 0.50/unit dan kita melabur RM 1000 dalam dana ini, maka kita akan dapat sebanyak 2000 unit.

Kemudiannya jika harga seunit turun kepada RM 0.45/unit pada bulan February, maka dengan pelaburan RM 1000 kita boleh memiliki 2222 unit menjadikan unit terkumpul sebanyak 4222 unit.

Setelah itu harga pada bulan Mac kembali pulih kepada RM 0.50, maka dengan pelaburan RM 1000 anda akan mengumpul sebanyak 2000 unit lagi menjadikan semuaya 6222unit dan nilai pelaburan pada bulan Mac ialah 6222 unit x RM 0.50 = RM 3111 dengan modal sebanyak RM 1000 x 3 bulan = RM 3000.

Jadi anda dah untung RM 111. (Ini tidak termasuk kos jualan unit trust)

Kalau harga makin naik macam mana?

Itu lagi bagus kerana jika anda sudah memulakan pelaburan. Kalau belum mula lagi, apa pun tak dapat.

Pelaburan Sekaligus (lump-sum)

Pelaburan secara sekaligus memberi pulangan yang lebih tinggi berbanding DCA dengan syarat anda masuk pada masa yang tepat.

Contohnya bila KLCI jatuh 200 mata, maka pada ketika ini anda dapat membeli unit trust pada harga diskaun dengan sekaligus.

Jika kita mempunyai kecekapan meneka bila harga unit trust akan jatuh, maka kita boleh jadi kaya lebih cepat daripada orang lain.

Masalahnya dalam dunia realiti jarang sekali kita temui orang seperti ini. Skil ini memerlukan kejituan dalam meneka turun naik saham. Kadang bila terlalu mahu timing the market kita dah lost time.

Walaubagaimanapun, nafsu timing the market boleh dikurangkan jika jangka masa pelaburan kita cukup lama.

The longer your investment time horizon, the less important market timing becomes and the better your chances of doing well with lump sum investment.

Oleh itu jika jangka masa pelaburan anda cukup lama dan umur anda juga panjang, risiko kerugian akibat market timing akan berkurang.

It’s About Time in the MarketNot Market Timing

Switching Bila Perlu

Switching bermaksud satu proses menukar daripada satu dana kepada dana yang lain. Ia merupakan idea yang terbaik dan memerlukan bukan sedikit kemahiran.

Bermakna, berupaya untuk mengenalpasti bila harga tengah mahal dan switch dana-dana jenis equity kepada dana-dana jenis money market.

Dengan itu bila harga benar-benar jatuh, segala keuntungan dan modal akan terpelihara daripada kerugian.

Umpama kapal layar berteduh di teluk sementara rebut melanda.

Kemudiannya, bila harga mula untuk pulih kembali, switch kembali kepada dana-dana equity.

Dalam pada itu, kita tidak perlu terlalu kerap switching daripada satu dana kepada dana yang lain. Dalam satu hal yang berbeza, switching perlu dilakukan apabila pelabur menghampiri umur persaraan.

Pada peringkat awal pelaburan, objektif kita ialah lebih tertumpu kepada pengumpulan aset dan pengembangan aset. Accumulation and growth objective.

Apabila hampir umur persaraan, kita akan lebih mengutamakan pelindungan pelaburan dan konsistensi. Preservation and consistent return.

Sebagai contoh, jika kita mula melabur RM 10,000 pada umur 25 tahun, kita mempunyai masa yang lebih panjang untuk pelaburan kita berkembang.

Katakan pasaran saham jatuh menyebabkan harga unit trust yang dilabur jatuh 50%, maka nilai pelaburan kita merosot kepada RM 5000.

Yang bagusnya pula, kita masih boleh lagi melabur dan mengambil kesempatan membeli unit trust pada harga rendah sambal menunggu harga saham pulih kembali.

Sebaliknya, seorang pesara yang telah mengumpulkan RM 800,000 dalam unit trust selama 25 tahun sudah pasti tidak dapat menerima kerugian sebanyak RM 400,000 jika saham jatuh 50%.

Untuk menambah unit pada ketika harga murah tidak akan memberi sebarang impak kepada nilai pelaburannya. Banyangkan jika pesara boleh tambah pelaburan sebanyak RM 10,000 sahaja pada ketika harga saham jatuh.

Sudah tentu jumlah pelaburan tambahan pakcik makcik persara tersebut tidak terkesan dengan kerugian RM 400,000. Tambahan pula mereka tidak boleh tunggu lama untuk menunggu pelaburan mereka pulih kembali.

Tetapi jika kita yang masih muda, kejatuhan harga saham adalah peluang untuk kita mengandakan nilai pelaburan kita.

Jika anda teliti, strategi yang berbeza menghasilkan pulangan yang berbeza walaupun dilaburkan dalam dana yang sama. Dua pelabur yang melabur dalam dana yang sama tidak semestinya mendapat keuntungan yang sama

Oleh itu, keuntungan dalam pelaburan dalam unit trust bukan semata-mata bergantung kepada kadar pulangan unit trust itu sendiri, tetapi bagaimana kita melabur.

Apa Jadi Jika Ejen Anda Tidak Aktif?

Pelaburan unit trust bersifat jangka panjang. Lagi lama anda beri masa kepada unit trust untuk terkompaun lagi berganda-ganda keuntungan dijana.

Maka penting untuk memilih perunding yang boleh bertahan lama dan komited. Malah ada pelabur yang nikah dengan perunding unit trust nya.

Namun ada kalanya hubungan ini tidak kekal lama. Ada sahaja perunding yang ditamatkan perkhidmatan atas pelbagai sebab. Ada perunding yang berubah angin menyertai kerjaya baru atau tidak berminat lagi menjadi perunding.

Apa yang akan terjadi kepada akaun pelabur unit trust apabila perunding telah ditamatkan perkhidmatannya?

Pertamanya, pelabur akan diberikan surat untuk menamakan perunding baru yang mereka berkenan, jika ada.

Jika tidak, akaun pelabur ini akan diletakkan di bawah ‘upline’ kepada perunding unit trust yang telah tamat perkhidmatan. Biasanya pelabur tidak kenal ‘upline’ ini.

Ada juga pelabur yang tidak berpuas hati dengan servis yang diberikan oleh perunding, maka mereka mencari perunding yang lebih mesra dan memberikan konsultansi yang terbaik.

Ada kalanya, pelabur-pelabur yatim ini dijumpai oleh perunding yang baru daripada syarikat unit trust yang sama. Tiada salahnya pelabur membuka pelaburan baru di bawah perunding yang baru ini.

Tetapi ada juga perunding yang mencadangkan agar pelaburan yang lama dikeluarkan semuanya, kemudiannya dilaburkan semula. Atas alasan untuk memudahkan perunding dan pelabur meneliti prestasi pelaburan.

Contohnya, nilai pelaburan terkini bernilai RM 100,000 dengan modal RM 70,000 lima tahun dahulu. Sudah ada untung RM 30,000.

Apabila RM 100,000 ini dikeluarkan dan dilaburkan semula, pelabur akan dikenakan caj jualan sebanyak 3% (kalau kwsp) atau RM 3000. Sebahagiannya pergi kepada komisen perunding.

Ini bermakna, jumlah baru pelaburan menjadi RM 97,000, susut RM 3000.

Tidak semena-mena nilai pelaburan menyusut disebabkan mendapat nasihat yang salah.

Pelabur mahukan perunding yang komited dan jujur. Perunding sebelumnya tidak komited lama. Dapat yang baru, komited tetapi tidak jujur pula.

Pilihan yang lebih baik ialah dengan menulis surat kepada syarikat unit trust untuk menukar perunding.

Sebagai pelabur anda boleh menulis surat kepada syarikat unit trust untuk memohon tukar perunding yang anda sukai

Maka dengan itu pelabur dapat mengelakkan dikenakan dicaj dua kali.

Macam Mana Nak Mula Melabur?

Anda boleh melabur dalam unit trust dengan wang tunai atau melalui skim pelaburan ahli KWSP. Sebelum itu, apakah faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan anda sebelum melabur?

  • Objektif pelaburan dana
  • Strategi pelaburan dana
  • Saiz dana, sama ada mengecil atau bertambah
  • Sekatan pelaburan, contohnya pertimbangan etika dan agama
  • Potensi risiko
  • Jenis dan jumlah yuran yang dikenakan
  • Prestasi sejarah, terutamanya mengenai kenaikan harga dan pengagihan pendapatan kepada pelabur walaupun prestasi masa lalu bukan petunjuk prestasi masa depan
  • Portfolio pelaburan terkini dan peruntukan aset dana
  • Maklumat mengenai lembaga pengarah, pasukan pengurusan utama, penasihat, juruaudit dan pemegang trust

Ingat, pelaburan unit trust adalah paling sesuai untuk pelabur yang merancang untuk melakukan pelaburan jangka sederhana atau jangka panjang.

Anda juga boleh melayari www.fimm.com.my untuk tips yang lebih banyak mengenai pelaburan unit trust.

Jika anda ada sebarang pertanyaan dan inginkan jawapan segera, sila isi form di bawah. InsyaAllah pertanyaan anda akan terjawab nanti.

Atau hubungi Team S.A Agency yang berdekatan anda.

Jika anda berminat untuk menceburi kerjaya sebagai ejen unit trust, sila klik cara-cara jadi ejen unit trust.

Sekian, terima kasih.

elias-abllah-unit-trust

Elias Abllah, Personal Finance

Public Mutual Unit Trust Consultant since 2005

0127176903

Apa Itu Unit Trust?
Tagged on:     

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *