Selepas 10 tahun krisis ekonomi 2008, ternyata ekonomi dunia masih berkembang. Jangkaan ekonomi meleset setiap 10 tahun mungkin tidak benar kali ini. Tetapi mungkin kah krisis ekonomi ditunda ke tahun 2019?

Adakah Krisis Ekonomi Boleh Diramal?

Dunia mempunyai ribuan PhD ekonomi dan kewangan dengan berpuluh pemenang hadiah nobel, masih tidak mampu untuk meramalkan dan mengelakkan krisis ekonomi 2018 dan 1998.

Apa pula yang menyebabkan anda boleh meramal krisis ekonomi seterusnya? Kalau ada pun yang betul, ia mungkin hanya satu kebetulan sahaja.

Kalau setiap tahun anda meramalkan krisis ekonomi, pasti akan ada satu tahun anda akan betul. Alangkan jam dinding yang rosak pun betul waktunya dua kali sehari.

Hasilnya tetap sama jika orang utan meramalkan krisis ekonomi setiap tahun. Tidaklah dianugerahkan hadiah nobel ekonomi kepada orang utan jika akhirnya dia betul.

Saya tidak pula menidakkan nilai kajian dan analisis ekonomi. Apa yang saya nak jelaskan di sini ialah, apakah asas yang digunakan dalam meramalkan krisis ekonomi.

Tanda-Tanda Krisis Ekonomi

Ahli ekonomi boleh membaca tanda-tanda ekonomi sama ada tenat atau sihat. Kemudiannya meramalkan tanda-tanda yang sama untuk tiga bulan hingga 12 bulan seterusnya.

Lagi jauh di masa depan lagi tidak tepat ramalan. Untuk esok dan minggu depan umpamanya, kita hampir 100% pasti di mana kita bekerja dan siapa bos kita. Untuk dua tahun lagi, kita sendiri tidak pasti.

Kalaupun mereka boleh meramal dengan tepat krisis ekonomi, tidak banyak yang boleh dilakukan untuk mengelakkannya. Biasanya, ia sudah terlambat. Apa yang mampu ialah, mengubat ekonomi setelah ia sakit.

Krisis Ekonomi

Dua perkara penting dalam memahami krisis ekonomi yang akan memberikan kesan negatif kepada kita. Pertama saiz ekonomi negara yang bermasalah. Kedua, kedudukan ekonomi negara sendiri.

1. Saiz Ekonomi: US dan China

Jika dua ekonomi terbesar dunia ini demam, seluruh dunia akan turut demam. Ada yang demam sederhana ada yang lebih demam daripada demamnya US dan China.

Perang Dagangan antara US dan China akan lebih melukai sesama mereka sendiri. Babi di China akan terkesan dengan protein soya yang lebih mahal, dan peladang US akan hilang pembeli terbesar mereka selama ini.

Namun akan ada yang untung dalam perang ini. Contohnya, eksport elektronik Malaysia ke US meningkat sejak US mengenakan tarif kepada elektronik China.

Perang ini bagi saya tidaklah akan membawa kepada krisis ekonomi di US atau di China. Saluran diplomatik dan rundingan masih terbuka dan ini memberi peluang untuk kedua-dua negara mengimbangi untung dan rugi.

Dengan latar belakang ini, ekonomi US dan China dijangka akan berkembang masing-masing sebanyak 2.2% dan 6.2% pada tahun 2019 (Economist, Dec 2018).

2. Ekonomi Malaysia

Majalah Economist ‘shortlisted’ Malaysia antara calon Country of The Year 2018 atas sebab berjaya reset politik buat kali pertama.

Jika tidak kerana faktor ketidaktentuan sama ada Tun Mahathir akan serahkan jawatan PM kepada Anwar atau tidak selepas dua tahun, tentu Malaysia menjadi pilihan sebagai Country of The Year 2018.

Mungkin kita tidak mahu terkena badi France dan Myanmar yang menjadi country of the year tahun 2017 dan 2016. Lihat lah apa yang terjadi kepada France selepas Macron menang Presiden dan Myanmar dengan krisis Rohingya.

Harga minyak dunia, bagi saya adalah neutral kepada Malaysia sama ada tinggi atau rendah. Apabila harga minyak tinggi, dividen Petronas kepada kerajaan akan tinggi dan menolong kerajaan mengimbangi bajet 2019.

Apabila harga minyak rendah, ia mengurangkan beban subsidi kepada kerajaan. Ia juga lebih baik kepada rakyat apabila harga minyak lebih murah.

Kerajaan PH hari ini masih bertatih dan belum lagi berlari ditambah dengan pelbagai roadblock yang perlu ditempuhi. Sementara itu kita akan menyaksikan pelbagai sketsa di arena politik terutamanya di media sosial dalam setahun ini.

The Economist kata, ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.4% dengan kadar inflasi serendah 1.5% pada tahun 2019. Manakala MOF mengunjurkan 4.9% sahaja.

Kejatuhan Harga Saham 2018

Adakah kejatuhan harga saham menjadi tanda bakal terjadi krisis ekonomi dalam masa terdekat? Dalam rekod sejarah, tidak semua kejatuhan saham lebih 10% akan diikuti oleh krisis ekonomi. Ada krisis ekonomi terjadi di kala harga saham tengah memuncak.

Pasaran saham cuba mencari nilai sebenar saham. Harga dan nilai tidak semestinya sama. Untuk dapat nilai kita perlu discount future cash flow value. Contohnya, andai kata anda akan terima RM 1000 setiap bulan selama lima tahun, jika guna discount rate 0%, maka nilai hari ni ialah RM1000 x 12 x 5, sama dengan RM 60,000.

Maka tiada bezanya anda terima RM 60,000 sekarang atau RM 1000 setiap bulan. Tetapi jika discount rate ialah 3%, maka nilai hari ini bagi cash flow ini ialah hanya RM 54,956.

Discount rate yang digunakan berbeza-beza antara pelabur. Ada pelabur yang guna 3% ada yang guna 8%. Discount rate adalah cost of capital pelabur.

Apabila Fed rate naik kepada 2.5% daripada 1%, cost of capital investor turut naik. Future cash flow, e.g dividend, akan kena discount pada kadar yang lebih tinggi. Maka nilai saham hari ini akan lebih rendah.

Pasaran saham akan turun naik untuk mencari nilai ini. Ianya seperti pilihanraya yang mana pengundinya ialah pelabur-pelabur yang pelbagai.

Untuk harga saham lebih tinggi, cash flow bisnes mestilah meningkat lebih cepat daripada peningkatan discount rate.

Oleh itu, bisnes yang dalam fasa mendatar akan lebih terkesan daripada bisnes yang sedang berkembang apabila discount rate naik.

Kesimpulan

Ringkasan daripada perbincangan di atas adalah seperti berikut.

  1. Ekonomi US dan China akan terus berkembang pada tahun 2019.
  2. Ekonomi Malaysia akan terus berkembang pada tahun 2019.
  3. Harga saham boleh turun walaupun ekonomi masih berkembang.
  4. Harga saham boleh naik walaupun discount rate lebih tinggi.

Dua kenyataan terakhir, menolak kesimpulan kejatuhan harga saham menandakan krisis ekonomi bakal berlaku. Tetapi krisis ekonomi pasti menyebabkan harga saham jatuh.

Dua kenyataan yang pertama, mencadangkan ekonomi dunia dan Malaysia terus berkembang berdasarkan data-data yang terkini. Ringkasnya, ahli ekonomi tidak jangka ada krisis ekonomi tahun 2019.

Adakah tahun 2020 akan jadi krisis ekonomi? Teropong ahli ekonomi menjadi kabur apabila cuba melihat jauh ke depan. Kalau ada yang mampu ramalkan, sudah tentu bukan dari ahli ekonomi tapi ahli bomoh.

Elias Abllah

31 Disember 2018

Adakah 2019 Tahun Krisis Ekonomi?
Tagged on:     

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *