Artikel ini adalah lanjutan daripada dua artikel sebelum ini mengenai prospek tahun 2018. Ini bahagian terakhir.

Saya tulis kerana untuk memahami bagaimana ekonomi dan politik akan bersiaran tahun depan supaya saya ada framework of thinking yang betul. Ini penting untuk saya untuk memilih strategi pelaburan yang terbaik.

Kerja agent unit trust bukan setakat ambil cop jari dan sign sahaja ya. Yang lebih penting, bagaimana untuk memilih dana dan membina portfolio yang mantap dan ROBUST yang memenuhi keperluan pelabur itu sendiri.

Ekonomi tahun 2017 didaki dengan penuh hati-hati dan kerisauan. Setelah dua tahun pasca harga minyak rendah, dunia dan Malaysia mula mengolah langkah. Hampir semua bursa saham utama dunia naik tahun ini dengan Bursa Malaysia masih ketinggalan.

Untuk tahun 2018, adakah masih ada ruang untuk terus mendaki atau terpaksa kembali ke base camp dengan cuaca yang tidak mengizikan?

Sebelumnya, dalam post sebelum ini, ada saya bincangkan risiko kenaikan US Federal Reserve rate dan juga risiko pengaliran keluar modal daripada Malaysia.

Seterusnya, saya cuba rumuskan lima risiko utama pada tahun 2018 dengan bersumberkan pelbagai laporan dan kajian ringkas saya sendiri.

#1 Cryptocurrency dan Bitcoin

Tahun 2017 menjadi saksi akan fenomena Bitcoin dan cryptocurrency lain. Ianya sudah capai tahap manias atau ketidak-rasionalnya manusia, hampir sama dengan tahap Tulipmania 1636-1637 di Belanda yang mana harga putik bunga tulip naik berkali-kali ganda sebelum menjunam

Akibatnya Belanda mengalami krisis ekonomi dan mengambil masa bertahun lamanya untuk kembali pulih.

Hampir pasti kegilaan ini akan berakhir dan manusia akan lebih kenal Bitcoin apabila harganya menjunam. Daripada sayang menjadi benci.

Cuma apabila ini terjadi, apakah ianya akan mengheret ekonomi dunia di ambang krisis ekonomi yang teruk?

Krisis ekonomi yang teruk adalah disebabkan krisis keyakinan terhadap system perbankan dan juga kesihatan fiskal sesuatu negara.

Bitcoin tidak menjejaskan kedudukan fiskal negara dan selagi mana bank, syarikat pelaburan, dana pencen dan dana insuran tidak terlibat dengan Bitcoin.

Ini boleh lah dibuktikan dengan mudah. Walaupun Bitcoin telah meroket 7-8 kali ganda tahun ini, tiada satu bank yang mendapat untung berlipat ganda. Juga, tiada negara yang secara tiba-tiba menjadi kaya dan rakyatnya boleh beli minyak dengan murah.

Oleh itu, apabila Bitcoin jatuh kembali kepada tahap yang wajar, kesan kepada ekonomi hanya terhad kepada kerugian pelabur-pelabur dalam Bitcoin. Sudah pasti tiada kerajaan yang akan bail-out kerugian ini. Tanggunglah sendiri.

Hilang Kewajaran

Namun demikian, sudah kedengaran yang business berkaitan cryptos mula dipacu deras. Contohnya syarikat yang berkaitan dengan technologi blockchain mula menarik perhatian pelabur.

Longfin, sebuah syarikat yang baru sahaja masuk NASDAQ minggu lepas, sahamnya melonjak lebih 2000% hanya kerana membeli  sebuah syarikat kecil Ziddu.com yang membekal teknologi blockchain.

Pastinya, akan lebih banyak lagi cerita-cerita seperti ini dalam tahun 2018. Ini akan menyebabkan lebih ramai akan melibatkan diri dalam pelaburan cryptocurrency secara langsung atau tidak lansung.

Seterusnya, pelaburan yang berkaitan dengan mining juga akan mengalihkan modal yang sepatutnya disalurkan untuk teknologi hijau atau pencegahan kanser umpamanya. Maklumnya, mining menelan tenaga elektrik yang tinggi.

Itulah sebabnya, mining banyak dilakukan di Iceland untuk mengurangkan pengunaan elektrik untuk menyejukkan komputer. China juga menjadi tempat mining yang murah memandangkan China mempunyai penjanaan elektrik yang melebihi kapasiti penggunaan domestik.

Untuk gambaran, jumlah tenaga elektrik yang digunakan untuk mining kini melebihi penggunaan elektrik di Ireland.

Jika kos elektrik dan perlombongan makin meningkat, maka keuntungan daripada aktiviti mining akan berkurangan. Seperti mana aktiviti carigali minyak, ada operator yang kosnya rendah dan ada yang kosnya tinggi.

Pada ketika harga minyak tinggi, laut dalam lima kilometer pun sanggup digali. Tetapi ketika harga minyak turun, telaga minyak inilah yang akan terkambus dahulu.

Begitu juga dengan perlombongan maya Bitcoin. Apabila harganya jatuh, pelombong kecil yang akan terkesan lebih awal.

Untuk tahun 2018, pencarian nilai sebenar Bitcoin akan menjadi lebih baik dengan pengenalan future market, di mana spekulator boleh buat taruhan untuk harga Bitcoin jatuh. Ini ada saya jelaskan dalam artikel sebelum ini. Klik untuk baca.

Sejauh mana kejatuhan harga Bitcoin memberi impak kepada ekonomi dunia, masih lagi dalam kajian pakar ekonomi dunia. Pada pendapat saya pula, ianya tidak lah seteruk kesan kejatuhan harga minyak dan pengenalan GST.

#2 Geopolitik

Pentas geopolitik dunia akan menyaksikan perkembangan beberapa titik panas antaranya Korea Utara, serangan pengganas pasca keruntuhan ISIS dan perang proksi Saudi-Iran.

Saya bentangkan semula artikel saya mengenai tindak tanduk Korea Utara melalui ketua negaranya, Encik Kim Jong-un.

GDP Korea Utara hanyalah sebanyak USD 0.0028 trillion berbanding GDP Korea Selatan USD 1.411 trillion. Negara yang agak terperosok di suatu sudut ekonomi akibat sekatan ekonomi berdekat lamanya.

Keghairahan Mr Kim menunjukkan kekuatan nuklear dengan melancarkan peluru berpandu nuklear merentasi ruang udara Jepun dan menjunam di lautan pasifik, mengugat kestabilan geopolitik rantau ini.

Dalam masa yang sama saya dan pelabur saya ada pelaburan dalam rantau ini. Tentunya perlukan suatu analisa untuk melihat apa strategi seterusnya.

Mr Kim harus belajar akan apa yang terjadi kepada Saddam Hussein akibat melanggar Kuwait. Sangka Saddam perang hanya berakhir dalam tempoh yang singkat tapi terbukti salah pengiraan.

Pertama, Mr Kim dalam masa yang sama perlukan rakyatnya membuta tuli menyokongnya. Tentu dengan ujian demi ujian nuklear menunjukkan dia ada telur dan berbaloi untuk terus disokong. Lagipun ancaman US melalui Korea Selatan tentunya akan dapat terus meraih sokongan rakyatnya. Walaupun GDPnya hanya sekupang dua.

Kedua, tidak seperti ketika Perang Korea di zaman datuknya, Mr Kim tidak mendapat sokongan penuh daripada negara besar China. Malahan, tindak tanduk kebudak-budakan Mr Kim menjelekkan China sehingga China senada dengan US dalam sekatan ekonomi yang terbaru. Import China daripada Korea Utara telah berhenti sejak bulan February lagi.

Ketiga, tidak mustahil Jepun akan bangkit dengan kekuatan nuklear akibat kegatalan Mr Kim menjolok ruang udaranya. Ini boleh dilakukan dengan amat mudah kalau parlimen Jepun meluluskannya.

Cumanya, peningkatan kekuatan ketenteraan US di Laut China dengan sistem radarnya yang boleh meneropong jauh ke tanah besar menyebabkan China tidak selesa.

Risiko terbesar ialah accidental war akibat daripada satu pihak tersalah kira pergerakan pihak lain. Jika ini beraku, banyak nyawa boleh terkorban dan menjejaskan ekonomi dunia dengan penglibatan US, China, Jepun dan Korea.

Maka, saluran diplomatik mesti sentiasa terbuka antara semua pihak yang terlibat.

Perang Dingin

Kesimpulan yang boleh dibuat ialah, Mr Kim tidak ada ‘ghanimah’ yang dikejar melainkan untuk terus berkuasa mutlak di Korea Utara. Maka dia perlukan propaganda dalaman sendiri. Inilah mesej sebenar yang Mr Kim ingin sampaikan. Bukan nak perang sungguh pun. Acah-acah sahaja.

US tidak pula melihat ada untung untuk berperang besar dengan Korea Utara melainkan menjaga kepentingan ekonomi sekutunya. Dan seperti Mr Kim, tentunya Mr Trump juga suka guna propaganda Mr Kim sebagai budak jahat dalam negaranya sendiri.

Kebarangkalian perang besar adalah kecil tapi lebih menjurus kepada perang dingin ala US-Soviet. Berpanjangan dan berakhir dengan Mr Kim jatuh dengan sendirinya.

Trump

Tindakan unilateral Trump mengistiharkan Jerusalem sebagai ibu negara Israel menerima bantahan meluas di seluruh dunia. Kemudiannya, melalui Nikki Haley mengeluarkan kenyataan berbaur ancaman selepas resolusi menolak pengistiharan Trump mendapat undian 128-9.

Apa bentuk ancaman atau ugutan, tidak lah jelas hingga kini. US tidak mempunyai banyak pilihan yang menguntungkannya dalam hal ini.

Tentunya Mr Kim memperhatikan apa tindakan US kepada negara yang tidak memihaknya. Jika tiada tindakan yang selari dengan ancaman yang dibuat, maka Mr Kim menganggap ancaman Trump tiada berisi. Tiada kredibiliti.

Ini tentu menyukarkan Trump dan US mengendalikan Korea Utara. Tanpa bantuan China tentu sekali Mr Kim lagi besar kepalanya.

ISIS

Kekalahan ISIS di Iraq umpama sarang tebuan dipecahkan. Bertebaranlah anggota ISIS ke seluruh dunia dan yang paling hampir tentunya zon Eropah.

Ini menimbulkan kebimbangan serangan tanpa amaran oleh pengganas ISIS. Ataupun kemungkinan ada puak yang mengambil kesempatan atas hal ini. Melancarkan serangan dengan menuduh ISIS sebagai dalang.

Saudi-Iran

Putera Mahkota Muhammad Bin Salman mengundang masalah yang tidak sepatutnya kepada Saudi sama ada dalaman atau luaran.

Tahun depan rakyat Saudi boleh masuk panggung wayang di negara sendiri dan wanita sudah mula boleh ada lesen memandu.

Saudi selepas kejatuhan harga minyak, masih mengeluarkan simpanannya bagi menampung perbelanjaan negara yang sarat dengan subsidi.

Dalam masa yang sama memerlukan pelaburan yang tinggi bagi mengeluarkan kebergantungannya kepada hasil minyak semata-mata.

Dalam masa yang sama, harus mententeramkan pergolakan politik dalam negara selepas penangkapan dan pemecatan berprofil tinggi.

Begitu juga, perang yang berlanjutan di Yemen.

Muhammad Bin Salman harus cekap dalam pengiraan kalkulus ini. Silap perkiraan boleh membawa kerugian kepada dirinya sendiri dan Arab Saudi.

Berlatarbelakar apa yang saya lakarkan di atas, ekonomi dunia agak ‘robust’  dengan masalah geopolitik mutakhir ini.

Sejurus Korea Utara melancarkan roket nuklear, pasaran saham dunia tunduk seketika dan kemudiannya mendongak kembali seperti biasa. Mungkin di zaman ini, artis Korea mati bunuh diri mendapat perhatian lebih hebat daripada bom nuklear Korea Utara.

Untuk 2018, plot diatas akan terus bersiaran di samping plot baru yang tiada siapa yang dapat menjangkanya.

#3 Ekonomi China

China akan menurunkan suhu ekonominya supaya tidak ‘overheated’.  Hampir sedekat lalu ekonominya dipacu dengan pertumbuhan hutang untuk merangsang GDPnya.

China cuba keluar daripada kebergantungan kepada pelaburan infrastruktur dan pembangungan hartanah yang menyebabkan hutangnya bertambah.

Namun jika tidak berhati-hati, ada kemungkinan ekonomi China boleh menguncup. Malaysia antara negara dagang dan pelaburan besar China akan turut terkesan.

Kekuatan China yang tidak ada pada negara lain ialah penguasaan penuh politiknya. Dasar negara boleh dilaksanakan tanpa sebarang masalah besar, selagi mana pemimpin mereka kompetan dan bijak.

Dengan adanya kombinasi kuasa politik dan kebijaksanaan pemimpin, separuh daripada masalah ekonomi sudah dikira selesai.

Sebaliknya, masalah ekonomi dengan kuasa politik yang lemah dan pemimpin yang bodoh hanya akan hanya menyebabkan masalah ekonomi berganda.

(Yang hairan, bagaimana demokrasi yang seharusnya melahirkan pemimpin bijak boleh menaikkan pemimpin yang kurang akalnya)

Untuk setahun kehadapan, saya nampak ekonomi China akan terus berkembang dalam jajaran yang lebih seimbang.

# 4 Yield Curve Flattening

Bahagian ini agak sukar untuk saya terangkan dengan bahasa yang mudah. Ianya berkaitan dengan kadar pulangan pelaburan dalam bond.

Ada bond yang dikeluarkan oleh sesebuah kerajaan untuk menampung perbelanjaan negara. Ada bond yang dikeluarkan oleh syarikat korporat sebagai modal perniagaan. Namun ia tiada kena mengena dengan James Bond.

Bond yang dikeluarkan ada tempoh dan kadar kuponnya. Contohnya, USD 100 juta bond bertempoh dua tahun dengan kadar kupon USD 2 juta setahun. Menjadikan kadarnya ialah 2% setahun.

Bond ini akan dijual kepada pelabur institusi atau individu. Pelabur bond akan menerima kadar kupon seperti yang dijanjikan. Di akhir tempoh dua tahun, pengeluar bond akan membayar penuh bond 100 juta itu. Ini biasa dilakukan dengan mengeluarkan bond 2 tahun yang baru untuk bayar bond yang lama.

Untuk tempoh bond yang lebih panjang, contohnya 10 tahun lamanya, kadar kupon akan lebih tinggi berbanding dengan bond 2 tahun. Untuk kadar kupon yang sama, kenapa perlu melabur dalam bond 10 tahun? Bond 10 tahun dianggap lebih tinggi risiko berbanding bond 2 tahun.

Maka untuk manarik pelabur, kadar kupon mestilah lebih tinggi untuk bond yang lebih panjang tempohnya.

Seperti mana saham dan aset lain, bond juga boleh bertukar tangan. Pemegang bond boleh menjual bond yang dibelinya kepada pihak lain.

Harga bond yang dijual bergantung kepada kadar interest semasa. Ini kerana, interest yang ditawarkan oleh bank adalah pesaing kepada nilai bond.

Katakan kadar interest naik kepada 3% setahun, maka pemegang bond 100 juta yang menerima kupon 2 juta setahun tidak akan dapat jual kecuali harga bond turun untuk menyamai kadar interest 3%.

Dengan kata lain, pada kadar 2 juta setahun bond ini hanya memberi yield 2% setahun, lebih rendah daripada interest bank.

Untuk naikkan yield bond ini, harga bond di pasaran hendaklah diturunkan. Begitulah sebaliknya jika interest turun, harga bond akan meningkat.

Senang faham, harga bond akan berkadar songsang dengan kadar interest.

Kita boleh plot satu graf dengan paksi x sebagai tempoh bond dan paksi y sebagai yield. Normal yield adalah seperti di bawah.

Sebelum krisis sub-prima 2008, yield curve menjadi songsang, di mana bond jangka pendek menawarkan yield lebih tinggi daripada bond jangka panjang. Ini kerana, pasaran mula syak yang ekonomi dalam masa terdekat akan mula lemah. Ini menjadikan pelabur lebih minat dengan bond jangka panjang dan bond jangka pendek terpaksa dijual pada harga lebih rendah.

Apabila bond jangka pendek dijual pada harga lebih rendah, maka yield-nya akan lebih tinggi daripada bond jangka panjang, menjadikan yield curve songsang. Ini petanda ekonomi bakal masuk tahun kemelesetan.

Ini antara indicator utama dalam dashboard saya pada tahun 2018. Sebelum menjadi songsang, yield curve akan mendatar terlebih dahulu.

Dalam pada itu, yield curve yang mendatar perlu mengambil kira polisi US Federal Reserve yang bakal menaikkan kadar interest yang lebih mempengaruhi yield jangka pendek berbanding jangka panjang. Gagal mengambil kira faktor ini boleh menyebabkan yield curve yang mendatar ditafsir salah.

#5 Pilihanraya Ke-14

Rakyat Malaysia akan keluar mengundi tahun 2018 untuk menentukan kepimpanan negara. Bukanlah kepakaran saya untuk menelaah apakah kesimpulan yang tepat bagi politik Malaysia tahun depan.

BN yang diketuai oleh Dato Seri Najib, lebih tersusun rumahnya walaupun ada beberapa sampah yang disorokan di bawah permaidani.

Najib mungkin banyak silap dan begitu juga dengan para pemimpin BN yang lain. Tetapi sebagai satu kumpulan mereka nampak lebih konsisten.

Umpamanya balang terisi air, sudah jelas mana bocornya.

Tetapi bagi kumpulan pembangkang terdiri daripada Pakatan Harapan dan juga Pas, pada peringkat nasional, ianya ibarat balang kosong belum terisi airnya, akan tahan kah menampung janji atau tidak, tiada siapa yang tahu. Bocornya nanti pasti akan buat ramai yang terkejut.

Tawaran yang diberikan gagal mendapat minat orang mendengarnya.

PKR, PAS, AMANAH dan juga BERSATU mungkin betul secara individu dan betul dengan apa yang diperjuangkan. Tetapi sebagai satu pasukan, ianya amat lemah.

Umpama kesebelasan pemain bola semuanya mahu jadi striker termasuk penjaga gol sekali. Semuanya kebetulan hanya pandai main di posisi menyerang. Sebagai pemain individu mereka semuanya betul, tetapi sebagai satu pasukan mereka salah.

Maka masalah pembangkang yang mungkin kalah teruk, bukanlah siapa betul siapa salah. Tetapi masalah struktur dalam membentuk kumpulan pembangkang itu sendiri.

Ini memberi kelebihan buat Najib dan BN. Kelebihan yang bukan dicipta oleh mereka sendiri tetapi datang daripada kelemahan pada pihak pembangkang.

Tambahan pula, ekonomi dunia dan Malaysia bakal melaporkan angka-angka yang menarik. Pulangan Tabung Haji dan KWSP pasti lebih baik tahun ini. Pertukaran kerajaan jarang berlaku dalam keadaan ekonomi berkembang baik.

Bagi saya, Pilihanraya ke 14 adalah di mana ahli politik vateran pembangkang bakal direhatkan, sama ada oleh rakyat atau dari ahli parti mereka sendiri.

Pun begitu, berbaki tiga atau empat bulan lagi sebelum pilihanraya, apa sahaja boleh terjadi. Mungkin kah ada kejutan di saat akhir? Sama-samalah kita nantikan.

Kesimpulan

Untuk ekonomi tahun 2018, ramai ahli ekonomi memberi ramalan positif walaupun dengan berlatarbelakang ketidaktentuan politik dunia dan tempatan.

Sebagai pelabur, anda perlu mengambil pandangan jauh terhadap ekonomi dunia. Statistik menunjukkan, lagi jauh anda pandang lagi kurang sensitif pulangan pelaburan anda dengan turun naik ekonomi dunia.

Mengharap ekonomi, parti politik dan perdana menteri berubah amatlah sukar. Yang lebih utama dan mudah ialah mengubah diri sendiri menjadi orang yang lebih baik.

Semoga anda memberikan yang terbaik kepada diri, keluarga dan masyarakat di tahun 2018.

5 Risiko Utama 2018

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *